SPM (Sijil Penasihat Manusia) - Khas Untuk Penerima Sijil SPM

Pertama kalinya Husein mengucapkan sekalung tahniah kepada mereka yang cemerlang dalam keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) baru-baru ini. Dan kepada yang kurang bernasib baik, rezeki yang Tuhan tentukan ini bukanlah bermakna anda akan GAGAL selama-lamanya. Pada hakikatnya, peperiksaan yang anda hadapi selama ini adalah nasihat untuk anda sama ada yang sudah berjaya atau yang tidak berjaya. Oleh kerana itulah, Husein lebih suka menggunakan perkataan 'Sijil Penasihat Manusia' sebagai SPM untuk diri anda dan diri orang lain amnya.

Sijil Penasihat Manusia(SPM) - untuk Ibu Bapa

Kita pernah gembira setelah mendapat huruf A1 yang banyak dalam sijil keputusan SPM yang lalu. Ayah ibu sibuk dengan kenduri merebah seekor lembu tanda syukur. Bangga tertitip dibibir-bibir mereka bahawa anak harapan mereka ini telah berjaya meningkatkan maruah keluarga pada satu tingkat yang dirasa begitu kukuh.Pada hari ini, adakah perasaan yang sama dirasai oleh ibu ayah anda jika anda membuat masalah di Universiti seperti ditangkap khalwat atau mencuri?

Kebanyakan ibu bapa dan kita sendiri juga hanya menghadkan kejayaan itu hanya terdapat pada huruf A yang tersirat dalam keputusan SPM. Seakan-akan SPM itu dapat menentukan kejayaan yang berpanjangan. Ibu bapa berasa begitu tersinggung jika anak mereka gagal mendapat yang terbaik dalam pelajaran. Seolah-oleh ada arang yang terlekat pada muka mereka yang amat sukar untuk dicuci.

Nah, sekarang mengapa perlu dipandang rendah kepada atau anak-anak kita yang gagal dalam peperiksaan? Hanya kerana keputusan yang kurang cemerlang kita tidak lagi bersemangat untuk mendidik anak kita ke arah yang lebih sempurna. Cuba ukur pula kejayaan kita hari ini. Andai anda juga gagal, maka tidak ada perbezaan antara kegagalan anak anda dalam peperiksaan dengan kegagalan anda dalam melaksanakan tugas seharian seperti gagal mendidik anak-anak dan lain-lain.


Ya memang benar keputusan yang baik menjamin akan kecerahan masa hadapan anak-anak. SPM antara penentu awal dalam mewarnai setiap alur pelangi kejayaan. Namun tidak semua manusia mampu untuk dididik secara formal. Mungkin anak tersebut gagal dalam pelajaran dan berjaya dalam bidang yang lain. Kita sendiri telah melihat kejayaan banyak tokoh tanpa lulusan SPM. Bukan bererti mereka gagal SPM,bahkan kertas soalan SPM juga tidak pernah mereka lihat.

Bagaimana pula dengan kes pelajar pintar suatu ketika dahulu. Tidak perlu saya sebutkan namanya jika anda sudah fahami apa yang akan saya tuliskan ini. Kini akal dan imannya sudah rosak dengan perkara yang begitu memalukan. Kejayaan A1+++ memang miliknya suatu masa dahulu, tapi tidak lagi kini. Bila ianya sudah terlambat, ibu bapa akan merasa betapa indah dan mahalnya nikmat yang Allah kurniakan berupa seorang anak yang masih mampu berbakti walaupun hanya memegang cangkul di ladang.

Sijil Penasihat Manusia(SPM) - untuk mereka yang BERJAYA
Kenapakah saya berkata Sijil Penasihat Manusia juga untuk mereka-mereka yang berjaya meraih kejayaan yang cemerlang dalam SPM baru-baru ini?? Kerana dengan sijil ini dapat menasihatkan dan menentukan sifat anda sama ada anda bersyukur mahupun sebaliknya dengan limpah rezeki yang Allah Taala berikan. Tidak semestinya Allah Taala memberikan keputusan yang cemerlang kepada anda bermakna Dia sayang kepada anda. Ingat !! Allah Taala bukanlah makhluk seperti kita yang sanggup memberi dan membuat apa sahaja untuk orang yang tersayang. 

Pada hakikatnya, Dia mahu menguji kekuatan IMAN anda dan bagaimana anda MENSYUKURI nikmat yang Dia berikan. ''Aku rasa akulah yang paling cerdik sekali''. ''Orang yang dapat result rendah tu sebab tak cukup usaha la tu''. Itulah ungkapan yang mungkin anda alami sekarang ini jika anda berjaya dalam keputusan sesuatu peperiksaan. Perkataan USAHA yang ada dalam ungkapan kedua tadi bukanlah bermakna usaha anda selama ini sangat berbaloi untuk anda mendapat keputusan yang cemerlang seperti itu akan tetapi ianya datang dari HIDAYAH Allah Taala yang menyuruh anda untuk berusaha ke arah itu. Tanpa HIDAYAH-NYA anda mungkin tidak akan beroleh kesenangan dan kebahagiaan seperti yang anda alami sekarang ini. 

Dan ingatlah.. bahawa dengan usaha, anda mampu mencapai kejayaan setinggi langit akan tetapi ingatlah jua asal-usul anda yang serendah tanah yang anda pijaki. (kata-kata dari: FB Farah Lee)

Ya... anda mungkin sudah berjaya untuk mendapat keputusan peperiksaan yang membanggakan anda dan ahli keluarga anda.. akan tetapi adakah anda sudah berjaya membanggakan Allah Taala?? Bagaimana peningkatan IMAN anda selama 17-18 tahun anda hidup di bumi Allah? Adakah sudah mencukupi sepertimana cukup gembiranya anda dengan keputusan yang dikeluarkan? atau sebaliknya... Tepuk dada, tanya iman..:-)

Dan ketahuilah bahawa kejayaan yang HAKIKI adalah kejayaan di AKHIRAT kelak yang menentukan anda adalah dalam kalangan ahli An-Nar ataupun ahli Jannah. Firman Allah S.W.T. di dalam surah Al-Mukminun yang bermaksud:
''Sesungguhnya berjaya orang-orang yang beriman. Iaitu mereka-mereka yang khusyuk dalam solatnya.''

firman-Nya lagi dalam surah Al-A'la yang bermaksud:
"Sesungguhnya berjaya orang-orang yang menyucikan diri(dengan beriman), dan mengingati nama Tuhannya, lalu dia solat. Sedangkan kamu(orang-orang kafir) memilih kehidupan dunia, padahal kehidupan akhirat itu lebih baik dan lebih kekal.

Sijil Penasihat Manusia(SPM) - untuk mereka yang KURANG BERNASIB BAIK.
Usah berputus asa melihat keputusan SPM yang tidak seberapa. Dunia ini masih bernafas jika nyawa anda masih diberi Allah untuk berdegup. Teruskan berjalan di dunia ini dan carilah apa jua lubuk kejayaan yang dapat membahagiakan anda dan orang tersayang.Rezeki berupa kejayaan itu sangat luas seluasnya rahmat Allah di muka bumi ini. Pilihan berada ditangan anda. Mulakan dengan tawakkal dan gerakkan tubuh badan menuju pilihan anda itu. Umat Islam itu adalah orang-orang yang berjaya. Jadi, lakukanlah kerana Allah!

GAGAL tidak beerti tidak BERJAYA dan BERJAYA tidak beerti tidak GAGAL. BERJAYA tidak selamanya dia BERJAYA dan GAGAL tidak selamanya dia GAGAL. Melihat kepada isu pelajar pintar suatu ketika dulu sudah pun menggambarkan akan keadaan kita sebagai manusia. Kita ibarat RODA, kadang-kadang kita berada diatas dan kadang-kadang kita berada dibawah.


Ingatlah, andainya kita tahu betapa gembiranya nanti bilamana kita dihadapkan di hadapan Allah, tentulah kita tidak sedih, kecewa dan apatah lagi menyimpan dendam pada yang tidak memilih kita, bahkan ucaplah terima kasih kerana meringankan bebanan di akhirat, sedangkan bebanan dosa diri sendiripun kita dah tidak mampu untuk menjawabnya. Ya Allah ampunilah dosa-dosaku yang banyak ini.
Andainya kita rasa sedih di atas kekalahan kita, cuba tanya pada diri.
"Apakah ia lahir dari rasa hebat kita berbanding orang lain?" (kata-kata dari: Tuan Ibrahim Tuan Man)

Andai kata didalam suara hati anda berbunyi kecewa dengan Qada' dan Qadar yang menimpa anda, katakanlah bahawa ia sebenarnya datang dari BISIKAN SYAITAN yang menyuruh anda berputus asa, merajuk dan menyepikan diri dari orang lain dan akhirnya gugur dan akur dengan hasutan tersebut lalu menyuruh untuk terjun dari bangunan. Inilah yang berlaku kepada masyarakat kita di Malaysia sekarang. Dan ketahuilah bahawa dengan tindakan sebegitu adalah matlamat syaitan dan musuh Islam, dan inilah juga yang mengecewakan kita di akhirat nanti.

PUTUS ASA bukanlah sifat seorang muslim. Sebab itulah Islam melarang umatnya berputus asa dari ketentuan Allah. Berputus asa juga boleh disifatkan dengan membunuh diri. Adakah anda mahu membunuh diri anda sendiri? Sudah tentu tidak. Oleh sebab itu, berputus asa tidak mendatangkan apa-apa kebaikan sebesar zarah pun.

MENYESAL. Ya..anda patut berasa menyesal dengan usaha anda selama ini. Tetapi tidakkah anda terfikir bahawa setiap manusia itu melakukan kesilapan? Mungkin dengan usaha yang anda lakukan untuk berhak mendapat keputusan seperti itu merupakan kesilapan anda yang terakhir. Dan mungkin perkara seperti itu adalah lebih baik untuk anda. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud:

"Boleh jadi kamu tidak suka sesuatu itu padahal itu adalah baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu itu padahal itu adalah buruk bagi kamu..."

Dan ketahuilah bahawa apabila kita jatuh, itu adalah perkara yang BIASA.. akan tetapi apabila kita bangun daripada jatuh, itu adalah perkara yang LUAR BIASA. Akhir kalam, saya akhiri mesej ini dengan kata-kata dari Ustazah Nor Bahyah yang berbunyi:
"Bila diuji dengan kekayaan,jika hati sihat akan menjadi pemurah.Jika hati sakit akan menjadi sombong
Bila diuji dengan kemiskinan,jika hati sihat akan menjadi redha.Jika hati sakit akan menjadi keluh kesah
Bila diuji dengan kesihatan,jika hati sihat akan menjadi syukur.Jika hati sakit akan menjadi lupa
Bila diuji dengan kesakitan,jika hati sihat akan menjadi sabar.Jika hati sakit akan menjadi gelisah
Bila diuji dengan ketuaan,jika hati sihat akan menjadi tenang.Jika hati sakit akan menjadi merana
Bila diuji dengan kemudaan,jika hati sihat akan menjadi seorang yg sentiasa beringat-ingat.Jika hati sakit akan menjadi seorang yg lalai.
* entri ini juga ditujukan kpd sepupuku, Fatihah yang mengambil result SPM tahun ni.

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.