Rahsia Pemilihan Semenanjung Arab sebagai Tempat Mula Dakwah

Rahsia Pemilihan Semenanjung Arab sebagai Tempat Keputeraan Rasul Akhir Zaman

sebelum menyusur lebih jauh dengan perbahasan ini, elok terlebih dahulu kita mengenali keadaan dunia ketika itu.

Keadaan Dunia ketika kelahiran NAbi s.a.w.

Ketika kelahiran Nabi s.a.w, Alam sedang menyaksikan kelahiran dan keunggulan 2 Kuasa besar dunia iaitu Parsi dan Rom selain kedatangan 2 pengaruh lagi dari Yunan dan India. Masing-masing mempunyai pengaruh dan tamadun sendiri dalam keadaan arab ketika itu sedang hanyut dengan kejahilan hidup dalam bersistem kesongsangan.

Parsi : Pengaruh Parsi ketika itu ialah keunggulan mereka dengan ilmu falsafah. Dengan kata lain mereka mengagungkan hujah logika dalam menggariskan hukum selain panduan hidup. Namun menjadi hakikat, logika apabila tidak berpandukan wahyu ilahi pastinya akal yang menganggap logik tersebut tersasar jauh dari fitrah kemanusiaan. Begitulah yang sedang berlaku di Parsi. Antara falsafah yang sering diperjuangkan ketika itu ialah membenarkan perkahwinan dengan ibu atau saudara kandung atau tidak juga menjadi kesalahan berkahwin dengan anak sendiri. Sehinggakan pemerintah, Yazdajir ke-2 mengamalkan falsafah ini bila berkahwin dengan anaknya sendiri. Antara kesongsangan lain tamadun Parsi ketika ini ialah falsafah menjadikan wanita sebagai barang perkongsian seperti lain-lain harta.
Namun apa yang ingin diketengahkan ialah, Parsi ketika itu unggul dengan ilmu pemikiran dan tamadun falsafahnya.

Rom : Pengaruh empayar Rom pada waktu itu pula ialah dengan kegagahan menjadi negara penyebar pengaruh Masihi atau kristian. Sebenarnya dengan matlamat menyebarkan pengaruh kristian ke seluruh dunia, mereka menjadi agung dengan jalan penjajahan, Dalam keunggulan menawan dan menguasai banyak negara takluk, Empayar Rom semakin tersimpang dengan kuasa yang terlalu luas sehingga menjadi zalim dalam pelbagai aspek terutama memonopoli ekonomi.

Yunan : keadaan Yunan ketika kelahiran nabi sebenarnya tidak banyak berbeza dengan Parsi. Mereka juga terlalu mengagungkan falsafah dan logika. Bersandarkan pemikiran tersebut, mereka mencipta agama dan sembahan sendiri.

India : Imam Abu Hasan Ali An-Nadwi mengatakan bahawa semua pengarang sejarah bersepakat bahawa India ketiku itu subur dengan kehidupan beragama dengan akhlak dan masyarakat yang baik. India dapat membina pengaruh Tamadun dan Masyarakat dengan bertapak di atas dasar kebendaan. Namun, tamadun dan masyarakat sebegitu tidak mampu berdiri lama apabila menjadikan material sebagai keutamaan kerana melahirkan masyarakat yang tidak berfikiran secara tulus.

Melihat perkembangan dunia ketika itu, kita dapat menyimpulkan bahawa kesesatan Arab yang berlaku pada waktu itu disebabkan kejahilan, manakala umat lain pula disebabkan kecelaruan dalam tamadun iaitu dengan sebab berfikir.

Oleh itu, tersingkaplah sudah kepada kita beberapa hikmah disebalik pemilihan Arab sebagai tempat menerima kelahiran Nabi s.a.w, antaranya :

1. Sekiranya Nabi dilahirkan dalam tamadun falsafah, masyarakat madani atau tamadun penaklukan, pihak musuh mempunyai hujah mengatakan Dakwah yang dibawa nabi sebenarnya terkesan dari peredaran pemikiran falsafah dan tamadun-tamadun tersebut. Allah yang memilih dan memelihara RAsulnya itu, mempunyai rancangan sendiri memilih tempat kelahiran baginda. Allah mahukan manusia dapat menerima bahawa dakwah yang dibawa oleh rasulullah itu sebenarnya secara tulin terus diajar oleh Allah kepada rasulnya tanpa sebarang pengaruh luar. Dilahirkan dengan dakwah yang bertepatan fitrah kemanusiaan dan logik pemikiran dari masyarakat yang terlalu jahil dan mundur dalam pemikiran menjadi hujah betapa dakwah itu pasti berasal dari suatu kuasa Agung yang lain. Selain itu, hal ini dikuatkan lagi dengan menjadikan Nabi seorang yang alim dan seorang yang bertamadun menjangkaui masa sedangkan Baginda tidak pula boleh membca dan menulis.
2. Antara hikmah lain ialah kewujudan Baitullah di Mekah., Allah mahukan Nabi menguruskan Baitullah (kaabah) sehingga menjadi syiar teragung agama Islam yang dibawanya.

3. Selain itu Semenanjung Arab dan Mekah khususnya berada di titik geografi yang terlalu strategik untuk urusan dakwah. Semenanjung Arab berada tepat di pusat dunia yang menjadikan laluan antarabangsa dari semua sudut. Oleh itu, hal ini amat sesuai untuk menjadikan Semenanjung Arab sebagai pusat Sebaran Agama Islam.

4. Melihat dari sudut bahasanya, pemilihan Semenanjung Arab mehjadi hikmah pemilihan bahasa arab itu sendiri sebagai bahasa rasmi Dakwah Islam. Disebabkan bahasanya yang paling cantik selain mempunyai balaghah yang unik, bahasa ini juga mudah disebarkan ke seluruh dunia. Oleh itu, pemilihan Semenanjung Arab merupakan faktor terpenting untuk penyebaran kitab Al-Quran. Al-Quran yang di bawa ke tengah-tengah bangsa arab yang terlalu mengagungkan karya bahasa menjadikan semua pensyair (yang ketika itu merupakan manusia paling berpengaruh di Mekah) mengakui bahawa kalam ini bukan kalam dari manusia biasa.

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.