Musafir di bumi Tanta,Mesir

20 Oktober 2011(22 Zulkaedah 1432 hijrah) - Saya mula meninggalkan bumi barakah iaitu Kaherah,Mesir pada jam 2 petang. Setelah beberapa masalah dan persiapan sudah diselesaikan di tempat kediaman wal hal Mesyuarat Agong Tahunan KPT masih lagi berlangsung dengan rancak, saya dan sahabat pergi meninggalkan asrama Terengganu di Kaherah. Sempat juga menghadirkan diri dan mengerah keringat menolong adhock(ajk pelaksana program) dalam membantu melancarkan program terbesar itu sebelum bertolak ke Tanta. Malangnya, saya tidak berkesempatan untuk hadir sepenuhnya ke mesyuarat tersebut kerana terpaksa bermusafir ke bumi Tanta.


Tanta. Bumi yang penuh misteri. Salah satu daerah di Ardhul Kinanah iaitu Mesir. Dimana bumi Tanta inilah pernah menjadi saksi kelahiran seorang ulama' terkemuka di dunia, Prof. Dr. Yusuf Al-Qardawi Hafizohullah. Tidak lupa juga, di sini juga menjadi tempat kediaman sebahagian pelajar Malaysia di Mesir ini tidak mengira dari bidang perubatan mahupun pengajian Islam.


"Jauh perjalanan, Luas pengalaman"
Saya pegang dengan pepatah Melayu ini. Apabila kaki ini melangkah satu persatu ke bumi Tanta, apakah dugaan dan cabaran serta pengalaman yang bakal dihadapi akan datang. Sesungguhnya tiada sesuatu pun yang mengetahui apa yang akan berlaku keatas dirinya melainkan Tuhan Pencipta langit dan bumi. Begitu juga detik-detik kematian yang semua makhluk akan merasai kematian. Hanya keadaan,waktu, dan suasana yang membezakan antara kita. Sebagaimana firman Allah S.W.T. dalam surah Luqman: 34 ;
     "Dan tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan dikerjakannnya esok. Dan tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnnya Allah Maha Mengetahui, Maha Mengenal."


Perjalanan ke Tanta
Mengikut perancangan, saya dan sahabat ingin bertolak paginya tetapi oleh kerana ada masalah-masalah yang tidak dapat dielakkan, kami bertolak disebelah tengahari. Dari Hayyu Asyier, kami pergi meninggalkan kompleks untuk memulakan jejak musafir kami untuk ke bandar Ramsis. Perjalanan ke bandar Ramsis memakan masa hampir satu jam dari Hayyu Asyier. Dengan masa tersebut lah, saya terpaksa berdiri di dalam bas dan melayan kerenah arab Mesir. Di Mesir, bandar Kaherah adalah antara bandar yang tersibuk di negara itu. Oleh itu, tidak hairan lah saya terpaksa berdiri selama hampir satu jam untuk ke Ramsis. Nama Ramsis diambil sempena salah satu nama raja Firaun yang memerintah Mesir beberapa abad yang lalu.


Melihat pemandangan di sawah. Teringat kampung halaman Rider, Malaysia
Kedengaran bunyi kenderaan dan kelihatan ramai penduduk Mesir sibuk mencari sesuap nasi semata-mata ingin meneruskan kehidupan di dunia. Itulah Ramsis. Sampai sahaja di situ, saya dan sahabat terus bergegas ke kawasan El-Tremco(perebek sapu) untuk ke Tanta. Selepas beberapa ketika, tremco tersebut memulakan perjalanan. Perjalanan kali ini agak suram kerana waktu kami memulakan perjalanan hampir gelap. Dengan keadaan kami yang agak keletihan dan angin sepoi-sepoi, membuatkan kami kadang-kadang terlena seketika sepanjang perjalanan tersebut. Pada kebiasaan,perjalanan dari bandar Ramsis ke Tanta memakan masa 1 jam lebih akan tetapi perjalanan kami kali ini agak panjang iaitu selama hampir 3 jam. Dari situ lah kami mengambil peluang untuk melihat sendiri kehidupan masyarakat Mesir di daerah yang jauh dari Kaherah pada waktu malam..Sesungguhnya telah Allah ciptakan kejadian siang dan malam semata-mata untuk membuktikan kekuasaan-Nya yang tiada tandingan dan sesuai dengan keadaan makhluk-Nya yang inginkan rehat dan pekerjaan.
Sahabat Rider, Hanif, sedang menonton cerita kegemarannya di Tanta iaitu R***i**man. Korang boleh teka?


Kali Pertama Jejak Kaki ke Tanta
Bulan sudah lama menjelmakan dirinya. Apabila pertama kali menjejakkan kaki di bumi Tanta ini terasa sedikit kelainan berbanding di Kaherah. Bandar Tanta yang pertama saya jejaki adalah bandar Mu'arradh. Disinilah tempat segelintir pelajar-pelajar Malaysia menginap. Tidak hairanlah kerana Jami'ah(Universiti) Al-Azhar cawangan Tanta juga terdapat disini. Jika dibandingkan dengan Al-Azhar di Kaherah, perjalanannya memakan masa hampir satu jam. Seterusnya saya dan sahabat ke Cyber Bey(saya tidak pasti ejaan saya ini betul atau salah), tempat dimana kediaman sahabat saya di situ.
Sempat melihat keretapi yang seakan-akan keretapi ketika Malaysia tahun 80-an


Suasana tempat kediaman di Tanta
Pengalaman di Tanta
Pengalaman mendewasakan kita. Udara yang sejuk dan dingin di bumi Tanta kadang-kadang terasa hingga ke tulang sum-sum. Penjelajahan saya ke bumi Tanta terpaksa tergendala dek kerana kesibukkan sahabat untuk membuat urusan daftar ke kuliah dan suhu di sini serta masalah-masalah lain. Niat di hati ingin sekali melihat tempat kediaman Syeikh Yusuf Al-Qardawi. Manakan tidaknya, diri ini pernah bertemu Syeikh Yusuf Al-Qardawi dan mendengar kalam-kalamnya yang begitu indah. Antara kalam beliau yang masih terngiang-ngiang di telinga ini adalah;
''Kamu sebagai Azhari, mestilah kamu menjaga Al-Azhar...''


Terasa umpama bumi tergantung di kedua-dua belah tanganku apabila setiap kali teringat akan kata-kata tersebut. Maksud menjaga Al-Azhar bukan sahaja menuntut ilmu sahaja sebagaimana yang semua ketahui, bahkan dari aspek akhlak, budi pekerti dan juga peribadi seorang Azhari itu juga perlu dijaga oleh semua Azhari. Tidak mengira dari jurusan atau bidang mana yang mereka ambil. Semuanya adalah AZHARI.


Begitulah kita, manusia, yang hanya mampu merancang sesuatu, dan selebihnya Tuhan sahaja yang berhak menentukan segala-galanya. Perantauan saya hanya setakat bersiar-siar di sekitar kawasan tempat kediaman sahabat saya. Akan tetapi itu tidak bermakna saya sedih dan kecil hati, bahkan pengalaman itu lah yang menjadi titik permulaan saya untuk merantau lagi tempat-tempat bersejarah di bumi Anbiya' ini. 
   [Katakanlah(Muhammad), ''Berpegianlah di bumi lalu lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang dahulu. Kebanyakkan dari mereka adalah orang-orang yang mempersekutukan(Allah).]  Surah Ar-Rum: 42

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.