Usrah Mingguan(30 September)

Apa itu 'USRAH'. Usrah berasal dari perkataan arab yang bermaksud keluarga. Tetapi dalam konteks usrah saya bukanlah bermakna mengumpulkan kesemua ahli keluarga, tetapi membuat satu jemaah yang terdiri daripada sahabat handai saya dan membincangkan mengenai beberapa masalah Islam dan masalah umat serta menganggap mereka sebagai ahli bait saya sendiri. Antara topik perbincangan usrah saya pada kali ini:

HADIS:
عن أبي عمرو, وقيل : أبي عمرة, سفيان بن عبد الله الثقفي رضي الله عنه قال: قلت : يا رسول الله, قل لي في الإسلام قولا , لا أسأل عنه أحدا غيرك. قال: (قل امنت بالله ثم استقم). رواه مسلم

''Daripada Abu Amr ada yang mengatakan Abu Amrah Sufyan bin Abdillah Al-Thaqafi r.a. berkata, 'Wahai Rasulullah, katakanlah kepadaku suatu perkataan tentang Islam, yang tidak mungkin aku tanyakan kepada sesiapa pun selain kepadamu.' Rasulullah bersabda, 'Katakan aku beriman kepada Allah', lalu istiqamahlah.''

Sebelum saya mensyarahkan lagi hadis ini, antara perbincangan yang telah dibuat semasa usrah tersebut berlangsung adalah tentang kelemahan mahasiswa Azhar. Perkara ini cuba disebut oleh naqib usrah saya. Beliau menyebut,"Ustaz Nasiruddin Tantawi pernah berkata, janganlah kita terlalu 'tawaduk' sangat sehinggakan bila orang suruh kita buat kerja, masing-masing tunduk kepala, sebaliknya kita kena buat dengan segera.. kalau beranggapan bahawa perbuatan kita itu mungkin akan mendapat kritikan.. anggaplah kritikan itu dapat mengubah diri kita ke arah yang lebih baik.''

Berkenaan Hadis : hadis ini adalah antara hadis yang terkandung dalam hadis 40 karangan Imam Nawawi dan hadis ini adalah yang ke-21. Hadis ini juga disanjungi kerana mempunyai isi yang padat dengan makna dan ringkas ucapan Nabi Muhammad S.A.W. terhadap soalan yang dikemukakan serta mempunyai usul Islam iaitu: iman dan istiqamah. Seperti yang kita ketahui, Islam mentauhidkan Allah dan taat akan perintah-Nya, maka tauhid menghasilkan iman kepada Allah, dan taat menghasilkan istiqamah kepada-Nya.

(  ثم استقم)  Makna
= dibuktikan dengan ketaatan,dan mencegah penyelewengan ,dan istiqamah tidak datang bersama perkara yang menjauhkan ia.

= setengah riwayat lain mengatakan ia bermaksud (قل ربي الله ثم استقم) . Diambil dari firman Allah s.w.t.
(...إن الذين قالوا ربنا الله ثم  استقاموا تتنزل) Al-Fussilat: 30
dan firman Allah s.w.t.
(...إن الذين قالوا ربنا الله ثم استقاموا فلا خوف عليهم ولا هم يحزنون) Al-Ahqaf: 13

= Abu Bakar As-Siddiq berkata dalam tafsirnya, ثم استقاموا bermaksud tidak sesekali mensyirikkan Allah. Iaitu beristiqamah(berterusan) bahawa Allah adalah Tuhan kamu.

= telah diriwayatkan daripada Umar bin Al-Khattab, sesungguhnya apabila beliau membacakan ayat
(إن الذين قالوا ربنا الله ثم استقاموا), maka beliau berkata : beristiqamahlah dalam mentaati-Nya. Makna ayat tersebut adalah : beristiqamah (berterusan) dalam mentauhidkan Allah dengan sebenar-benarnya.

Istiqamah terbahagi kepada dua iaitu: Istiqamah Hati dan Istiqamah Lisan :-
Istiqamah Hati:
Asal Istiqamah adalah istiqamah dalam hati dalam mentauhidkan Allah seperti yang telah disebutkan. Dan bilakah istiqamah dalam hati dalam mengenali Allah serta takut kepadanya, memberi penghormatan dan cinta serta meruah, kuasa dan tuntutan serta permintaan, tawakkal kepadanya dan tidak selain daripada-Nya???? ...Istiqamah hambanya semuanya adalah dalam mentaati Allah kerana hati adalah 'raja' bagi segala 'askar'. Jika istiqamah(taat) hatinya kepada Allah, maka istiqamah juga kesemua 'askar'/'rakyat' nya. Sepertimana hadis Nabi S.A.W. :
(ألا وإن في الجسد مضغة إذا صلحت صلح الجسد كله, وإذا فسدت فسد الجسد كله, ألا وهي القلب)

Istiqamah Lisan:
Perkara yang diambil kira selepas istiqamah hati adalah istiqamah lisan. Maka apa yang cuba diluahkan dalam hati akan diterjemahkan melalui lisan. Perkara ini ditegaskan lagi melalui hadis Nabi S.A.W. yang bermaksud: Katakan kepadaku wahai Rasulullah apakah perkara yang ditakuti oleh Nabi kepada ku? Bercakap dengan sendiri(omong-kosong) kemudian Imam Tarmizi berkata, hadis ini adalah hadis hasan sahih.
Dan diriwayatkan Imam Ahmad dalam sanadnya, dari Anas r.a, daripada Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud :''Tidak teguh iman seseorang hamba sehinggalah teguh hatinya, dan tidak teguh hatinya sehingga teguh lisannya''.

SIRAH AN-NABAWIYAH
Pada minggu ini, usrah saya dijemput untuk berbincang mengenai tajuk 'Masjid Dirar'. Secara jujurnya,inilah kali pertama saya mendengar satu masjid yang dinamakan Masjid Dirar itu akan tetapi perkataan 'dirar' itu seperti pernah saya lihat di dalam Al-Quran. Ya.. betul anggapan saya.. bahawa perkataan 'dirar' itu termaktub di dalam Al-Quran di dalam surah Al-Taubah ayat 107 :

“Dan (di antara orang-orang munafik itu) ada orang-orang yang mendirikan masjid untuk menimbulkan kemudharatan (pada orang-orang mukmin), untuk kekafiran dan untuk memecah belah antara orang-orang mukmin serta menunggu kedatangan orang-orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sejak dahulu. Mereka sesungguhnya bersumpah: “Kami tidak menghendaki selain kebaikan.” Dan Allah menjadi saksi bahawa sesungguhnya mereka itu adalah pendusta (dalam sumpahnya) *107* Janganlah kamu bersembahyang dalam masjid itu selama-lamanya. Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar taqwa (masjid Quba), sejak hari pertama adalah lebih patut kamu solat di dalamnya. Di dalamnya masjid itu ada orang-orang yang ingin membersihkan diri. Dan sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bersih. *108*


Asbabun Nuzul
Imam Jalaluddin As-Sayuti (w. 911 H)[1] meriwayatkan beberapa asbabun nuzul berkenaan ayat-ayat di atas dalam karya beliau yang bertajuk Lubaabun Nuqul Fi Asbabin Nuzul.
Pertama: Dalam satu riwayat ada dikemukakan bahawa Abu Amir Ar-Rahib berkata kepada sebahagian kaum Ansar yang sedang mendirikan masjid (Masjid Dirar): “Teruskan kerjamu mendirikan masjid dan siapkan kekuatan dan senjata perangmu semampu tenagamu. Aku akan berangkat ke Kaisar dan kembali membawa tentera-tentera Kaisar untuk mengusir Muhammad dan sahabat-sahabatnya”. Ketika masjid itu siap didirikan, mereka datang menghadap Rasulallah s.a.w. dan berkata: “Kami telah selesai mendirikan masjid kami dan kami sangat mengharapkan agar tuan solat di masjid kami.”
Maka turunlah ayat 108, Surah At-Taubah, melarang Rasulallah s.a.w. daripada solat di masjid itu. (Diriwayatkan oleh Ibn Marduwaih daripada Ali bin Abi Talhah daripada Ibn Abbas)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa kaum munafik mendirikan masjid untuk menandingi Masjid Quba’ dengan harapan Abu Amir Ar-Rahib akan menjadi imam mereka di masjid itu apabila dia berkunjung ke sana. Setelah masjid itu selesai didirikan, mereka datang menghadap Rasulallah s.a.w. dan berkata: “Kami telah selesai mendirikan masjid kami dan kami sangat mengharapkan agar tuan solat di masjid kami.”
Maka turunlah ayat 108, Surah At-Taubah, melarang Rasulallah s.a.w. daripada solat di masjid itu. (Diriwayatkan oleh Al-Wahidi daripada Saad bin Abi Waqas)[2]
Imam Ibn Kathir (w.774 H)[3] menceritakan:
“Dikisahkan bahawa sebab turunnya ayat-ayat ini ialah seorang Nasrani di Madinah bernama Abu Amir Ar-Rahib daripada suku Khazraj. Dia mempunyai kedudukan erpandang dan terhormat serta disegani di kalangan kaumnya. Abu Amir Ar-Rahib merasa iri hati kepada Rasulallah s.a.w. tatkala baginda s.a.w tiba di Madinah dan agama Islam tersebar luas, ramai pula penganut dan pula Rasulallah s.a.w. menang dalam perang Badar. Masyarakat Madinah berpaling daripadanya kepada Rasulallah s.a.w. Dia kemudiannya, melarikan diri dan bersekutu dengan orang-orang Musyrikin Quraisy di Mekkah untuk memerangi Rasulallah s.a.w. Dan terjadilah perang Uhud di mana Abu Amir Ar-Rahib bertambah iri hati sekali lagi kerana gagal membunuh Rasulallah s.a.w.
Abu Amir Ar-Rahib melarikan diri ke Rom dan meminta bantuan Hercules untuk menghadapi Rasulallah s.a.w. dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. Dia menulis surat kepada beberapa orang munafik di Madinah memberitahu bahawa dia telah mendapat bantuan Hercules untuk memerangi Rasulallah s.a.w. dan dia meminta disediakan baginya tempat untuk menjadi markas melaksanakan rancangan jahat mereka. Maka didirikankan sebuah masjid. Setelah masjid itu selesai didirikan, mereka datang menghadap Rasulallah s.a.w. dan berkata: “Kami telah selesai mendirikan masjid kami dan kami sangat mengharapkan agar tuan solat di masjid kami.”
Rasulallah s.a.w. yang bergegas untuk peperangan Tabuk menolak permintaan mereka dengan bersabda:
ان على سفر ولكن اذا رجعنا ان شاء الله
“Sesungguhnya kami sekarang dalam keadaan musafir dan insya Allah sekembali, kami akan penuhi pemintaan anda”
Selepas peperangan Tabuk dan baginda berhenti di Dhu Awan, turunlah malaikat Jibril membawa wahyu Allah sebagaimana diatas.[4]
Lalu Rasulullah s.a.w. menyuruh beberapa orang sahabat iaitu Malik bin Ad-Dakhsyim, Maan bin Adi atau saudaranya ‘Asim bin Adi dengan kata Baginda s.a.w;
انطلقوا الى هذا المسجد الظالم أهله فاهدموه و أحرقوه
“Berangkatlah kamu kepada masjid ini yang zalim ahlinya dan hancurkannya dan bakar olehmu akannya”
Lalu mereka melakukan suruhan nabi tersebut sehinggakan masjid itu rata.
“Ibn Ishak (w. 150 H)[5] telah menyebut tentang pembinaan masjid yang dibina oleh kaum yang zalim dan bagaimana Rasulallah s.a.w. memerintahkan supaya masjid ini dirobohkan sekembalinya baginda s.a.w. dari Tabuk, iaitu sebelum masuk ke Madinah. Segolongan orang munafik telah membina sebuah masjid yang menyerupai reka bentuk masjid Quba’. Mereka berbuat demikian supaya Rasulallah s.a.w. bersembahyang di dalamnya. Ini akan menyenangkan mereka melakukan kejahatan, kekufuran, dan keingkaran di dalamnya sesuka hati mereka. Akan tetapi, Allah s.w.t. memelihara rasulNya daripada bersembahyang di dalam masjid itu. Permintaan mereka ini diajukan sebelum pemergian Rasulallah s.a.w. ke Tabuk. Setelah Rasulallah s.a.w. kembali dari Tabuk, baginda s.a.w. berhenti di Dhu Awan (sebuah tempat yang terletak sejauh satu jam perjalanan dari Madinah). Ketika itu, turun wahyu kepada Rasulallah s.a.w. menerangkan masjid itu.
Masjid tersebut dinamakan Al-Dhirar kerana orang munafik mahu menggugat keutuhan dan pengaruh masjid Quba’, mengkufurkan Allah dan tidak mahu beriman denganNya, memecah belahkan jamaah dari masjid Quba’ dan menjadi tempat intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan rasulNya sebelum ini.”

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.