Tinggal di bangunan SAMA, waktu buka dan imsak BERBEZA
DUBAI: Umat Islam yang menghuni di tingkat 80 dan tingkat lain yang lebih tinggi di Burj Khalifa di Dubai (gambar) dinasihatkan melewatkan waktu berbuka puasa sepanjang Ramadan selama dua hingga tiga minit berikutan waktu terbenam matahari yang berbeza, kata Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Dubai.
Waktu imsak mereka juga adalah dua minit lebih awal berbanding mereka yang di tingkat lebih rendah, kata jabatan yang sama dalam satu fatwa yang dikeluarkan.
'Waktu berbuka, imsak dan solat subuh penghuni di Burj Khalifa berbeza bergantung di tingkat berapa mereka tinggal,' kata ketua bahagian fatwa jabatan itu, Encik Ahmad Abdul Aziz Al Haddad.
Beliau berkata, Muslim yang tinggal di tingkat 80 hingga 150 menara tertinggi di dunia itu perlu menangguhkan waktu berbuka puasa dua minit manakala mereka yang di tingkat 151 hingga 160 perlu berbuka kira-kira tiga minit lebih lewat.
'Penghuni di tingkat 80 hingga 150 perlu menunaikan solat asar dan isyak dua minit lewat manakala solat subuh dua minit lebih awal. Mereka di tingkat 150 ke atas perlu melambatkan solat asar dan isyak tiga minit tetapi mempercepatkan waktu solat subuh tiga minit lebih awal berbanding waktu bagi penduduk di tingkat lebih bawah,' katanya.
Encik Al Haddad berkata, perbezaan waktu di bangunan setinggi 160 tingkat itu adalah kerana waktu matahari terbenam lebih lama dilihat oleh penduduk di tingkat atas tetapi penduduk terbabit adalah yang mula-mula dapat melihat matahari terbit pada awal pagi.' - Agensi.
dipetik dari: Kerajaan Rakyat
Tiada ulasan: