Mari Membaca Al-Quran sambil Menangis EP.3

Sifat Tangisan Nabi s.a.w.:
    
    Adalah sifat menangis Rasulullah s.a.w. termasuk dalam sifat ketawanya. Beliau tidaklah menangis sedu-sedan(teresak-esak) dan tidak pula dengan mengangkatkan suara iaitu sebagaimana sifat beliau yang tidak pernah ketawa terbahak-bahak.
  
    Akan tetapi beliau menangis dalam keadaan bergenang dua kelopak matanya sehingga dia mengalir berhamburan dan dapat pula didengar bunyi menggelegak dalam dada beliau.

  
       Keadaan menangis beliau itu ada kalanya menjadi rahmat(kebaikan) kepada seseorang mayat, pada suatu ketika yang lain dia berupa kebimbangan terhadap umatnya, dan ada kalanya pula tangisan beliau itu menunjukkan sayang dan kasihnya beliau terhadap mereka, ada kalanya sebab takutkan Allah dan pada suatu kalinya berlaku di kala mendengar Al-Quran ,iaitulah tangisan rindu, kasih dan membesarkan Allah di mana dia membawakan rasa gerun dan takut.
  
    'Abdullah b. Mas'ud r.a. pernah menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda kepadanya:''Bacakan Al-Quran kepadaku!'' Maka saya bertanya;''Wahai Rasulullah,(wajarkah) saya membacakan Al-Quran kepada tuan sedangkan Al-Quran itu diturunkan kepad tuan?'' Jawab Rasulullah s.a.w.:''Ya lah, sungguhnya saya gemar mendengar bacaan Al-Quran daripada orang lain.''
    
     Maka saya pun membacakan surah An-Nisaa' sehingga sampai kepada ayat ini
''Maka betapa (halnya orang kafir nanti),apabila Kami mendatangkan seseorang saksi (Rasul dan Nabi) daripada tiap-tiap umat dan Kami mendatangkan engkau (Muhammad) sebagai saksi atas mereka itu (umat engkau?).'' [An-Nisaa'-41]

     Tiba-tiba beliau bersabda:''Cukuplah (bacaan) engkau,sekarang!''
Ibn Mas'ud menceritakan :''Tiba-tiba dua kelopak mata beliau mengalirkan air mata.''[H.R.Al-Bukhari dan Muslim]

     Selain itu Rasulullah s.a.w. menangis di kala beliau menyaksikan salah seorang puterinya menghembuskan nafas terakhir, beliau menangis di kala putera beliau,Ibrahim wafat di mana kedua mata beliau mengalirkan air mata, sedangkan tangisan beliau itu menjadi rahmat baginya.

     Beliau juga menangis di kala matinya 'Uthman b.Madz'un, beliau menangis dikala berlakunya peristiwa gerhana matahari dan beliau bersembahyang Kusuf(gerhana) dan beliau sengaja menangis dalam sembahyang itu, dan terkadang beliau menangis dalam sembahyang malam.

    Thabit Al-Bunaani pernah memberitakan daripada sumber Mutrif yang mengambil daripada bapanya yang menceritakan:
                 ''Saya telah datang menjumpai Nabi s.a.w. sedang beliau sedang bersembahyang dan (dada) beliau menangis berbunyi seperti bunyi periuk menggelegak.''

      Menurut penerangan pengarang kitab''Al Fath Ar Rabbani''(Syarh Musnd Ahmad:4:111): Hadis ini bermaksud dada Nabi s.a.w. mendidih dan menggelegak sebab menangis kerana takutkan Allah Ta'aala.
    
     Di samping itu terdapat pula sumber yang sah bahawa Nabi s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud:''Saya teruban(menjadi insaf dan menangis) oleh (bacaan) surah Hud,Al-Waaqi'ah,Al-Mursalaat,'Amma Yatasaa'luun dan Idzasy-Syamsu Kuwwirat.''[ruj: ''shahih jami' ash-shaghir'',hadis no.3723]


Adalah bacaan Al-Quran Rasulullah s.a.w. menghancur-luluhkan segala hati insan.

        Dalam kitab Sahih Al-Bukhari dan Muslim terdapat berita daripada Jubair b.Mut'im yang berkata: ''Saya telah mendengar Rasulullah s.a.w. membaca surah At-Tuur(ke-52) dalam sembahyang maghrib,maka tiadalah seseorang yang saya dengar lebih elok suara atau bacaan melebihi beliau.''
        
       Dalam sebahagian lafaz yang lain,Jubair didapati berkata :''maka di kala saya mendengar beliau membacakan ayat: ''Adakah mereka diciptakan tanpa Pencipta,atau adakah mereka yang menciptakan (diri mereka sendiri)?'' [At-Tuur:35] Adalah hati saya hampir terbang melayang.''

        Menurut Tafsiran Ibn Kathir r.a. ,adalah Jubair di kala dia mendengar ayat suci ini,dia tidaklah berterusan dalam agama kaumya,manakala kaumnya adalah antara kaum yang diserukan sesudah tawanan-tawanan perang Badar.

       Bacaan Rasulullah s.a.w. ini cukup terpengaruh di kalangan orang-orang kafir kota untuk menyingkirkan kekufuran. Maka dengan sebab inilah Jubair mendapat petunjuk dan justeru inilah maka seelok-elok bacaan itu adalah bacaan yang membawa kepada khusyu'(tunduk) dalam hati. Taawus pernah berkata yang bermaksud: ''Sebaik-baik suara manusia yang membaca Al-Quran ialah suara orang yang paling takutkan kepada Allah.''

                                                                                 episod seterusnya: Penangis-penangis kalangan Salaf

y 

1 ulasan:

  1. "Ya Tuhanku, berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada kedua ibu bapakku, dan untuk mengerjakan amal shlaih yang Engkau ridloi; dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu kedalam golongan hamba-hamba-Mu yang shalih". (QS. An-Naml: 19)
    Menangis atas segala rahmatNya yang tak terhingga dan menangis takutkan azabNya yang tak terperi.

    BalasPadam

Dikuasakan oleh Blogger.