RMHC: Dimana Sumbangan Tabung McDonald Anda Semua Disalurkan

ASSALAMUALAIKUM...

Kalau anda selalu singgah makan di McDonald, tentu sekali anda perasan tentang tabung sumbangan yang kecik yang ada di kaunter pembayaran. Tahukah anda selama ini bahawa kutipan yang McDonald berjaya kumpulkan sudah pun mencapai jutaan ringgit. Tapi, tahukah anda kutipan ini disalurkan kemana?

Kutipan derma orang ramai ke dalam tabung McDonald akan disalurkan ke Ronald McDonald House Charities (RMHC). Baru-baru ini RMHC telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Sains Malaysia (USM) untuk membina sebuah Rumah Ronald McDonald di dalam kawasan Hospital USM. Rumah Ronald McDonald di Hospital USM ini merupakan yang kedua di Malaysia dan pembinaannya bertepatan dengan misi untuk meringankan beban keluarga pesakit pediatrik.
 
Yang Berbahagia Profesor Datuk Dr. Asma Ismail, Naib Canselor USM dan Azmir Jaafar, Presiden RMHC merangkap Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia semasa pertukaran dokumen memorandum persefahaman (MoU) sambil disaksikan oleh Yang Mulia Tengku Tan Sri Dr Mahaleel Tengku Ariff, Ahli Lembaga Gabenor USM.

Semasa majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara Universiti Sains Malaysia dan pihak McDonald.

Apabila siap dibina pada awal tahun 2019 kelak, Rumah Ronald McDonald di Hospital USM akan menjadi tempat tinggal sementara untuk keluarga kanak-kanak yang mendapatkan rawatan di hospital. Rumah ini bakal mempunyai 18 bilik yang boleh menempatkan antara 4 hingga 6 katil setiap bilik. Setiap bilik turut dilengkapi dengan bilik air sendiri.

Selain bilik keluarga, Rumah Ronald McDonald yang baharu ini juga bakal menawarkan kemudahan seperti ruang makan, ruang TV dan istirahat, dapur, bilik mesin basuh dan juga taman permainan. Selain itu, Rumah ini turut menyediakan Bilik Sensori Ronald McDonald yang membantu perkembangan kanak-kanak istimewa dengan bantuan peralatan multi-deria khas.

Kerjasama ini secara tidak langsung mampu melonjakkan lagi persepsi positif masyarakat khususnya keluarga pesakit, serta pihak-pihak yang berkepentingan dengan USM. Selain daripada itu, ianya turut memperkukuhkan jenama USM amnya dan Hospital USM khasnya sebagai hospital pakar serta menjadi rujukan dalam pelbagai disiplin perubatan dan kesihatan di Pantai Timur selain membuka pelbagai pintu kerjasama yang lebih luas dan strategik bagi kedua-dua belah pihak. Hal ini dilihat sebagai satu langkah ke hadapan untuk menjadikan USM sebagai Universiti Pilihan.


Upacara Pecah Tanah di tapak pembinaan Rumah Ronald McDonald.

RMHC telah memberi impak dalam kehidupan lebih 20,000 kanak-kanak melibatkan kesihatan, pendidikan dan kebajikan dengan pembiayaan lebih RM16 juta. Dana untuk program-program yang dijalankan diperoleh daripada sumbangan ikhlas individu menerusi tabung yang terdapat di sestoran-restoran McDonald’s dan juga tajaan serta sumbangan dari rakan korporat.

4 ulasan:

  1. Prgm yang bagus utk kegunaan orang ramai kan
    Harap2 nti kat tmpt lain ada jgk nti2

    BalasPadam
  2. Bagus program ni untuk membantu golongan yang memerlukan

    BalasPadam

Dikuasakan oleh Blogger.