Bersahur di Dunia, Berbuka di Akhirat - Part 1

ASSALAMUALAIKUM...

Ramadhan yang datang mengajar erti kesabaran dan kesusahan saudara-mara kita di Palestin dan Gaza. Saban hari mereka dihujani dengan peluru dan roket yang menggegar angkasa bumi bertuah itu. Dari petang, sampai ke malam... mereka seolah-olah tidak dapat tidur lena dek kerana bimbang akan ancaman yang sentiasa menjelma.

Sebelum subuh, rata-rata penduduk Palestin sudahpun bangun awal dari tidur. Samaada untuk menyiapkan makanan sahur untuk dimakan atau untuk bangun qiamullail bertahajjud mendekatkan diri dengan Allah, atau untuk bersiap ke masjid berdekatan untuk sama-sama solat subuh berjemaah, atau membaca Al-Quran, selari dengan otak dan akal yang kosong selepas bangun tidur. Begitulah Hamid dan Hamida, kanak-kanak comel yang dilahirkan kembar dirumahnya di Gaza.

Ayahnya yang juga seorang nelayan di pantai telah mati ditembak oleh rejim Israel sewaktu melakukan aktiviti menangkap ikan dua tahun yang lalu. Kini, mereka tiada tempat bergantung dan bermanja melainkan kepada umi kesayangan mereka yang jatuh sakit tulang belakang. Uminya tidak dapat bergerak aktif seperti mana dahulu kala dan sering menyuruh Hamid dan Hamida mengurut di bahagian belakangnya. Mereka sekeluarga tiada tempat tinggal melainkan rumah peninggalan arwah ayah mereka yang kelihatan dhaif dan buruk serta tiada keperluan asas yang mencukupi. Elektrik dan air sering kali terputus menyebabkan adakalanya mereka bergelap di bawah cahaya bulan dan juga keperluan air yang berkurangan. Kadang-kadang sehari suntuk mereka tidak menerima bekalan air yang disalurkan dari rumah ke rumah. Air yang mereka terima juga kadang-kala tidak bersih dan berwarna.

Pagi itu, Hamid dan Hamida bangun awal. Selalunya mereka dikejutkan oleh uminya selepas uminya siap memasak makanan untuk bersahur. Pagi itu, mereka bersahur dengan sedikit nasi, roti dan berlaukkan ikan serta kurma sebagai tanda cinta mereka kepada sunnah Nabi. Hamida sangat pandai mengemas dan menolong uminya memasak di dapur berbanding abang kembarnya, Hamid yang seringkali duduk termenung disebalik tingkap rumahnya ketika adik kembar dan uminya bersiap untuk bersahur. Kadang-kadang, matanya menoleh ke langit sambil air mata mengalir di pipi kerana rindukan ayah mereka dan mengenangkan nasib mereka selepas ini.

''Sedap betul umi masak pagi ni'',
''Alhamdulillah, semua tu datang dari Allah. Kebetulan semalam ada orang sedekahkan ikan dekat rumah kita ni'',
''Boleh umi ajarkan Hamida masakan ini nanti?'',
''Boleh sayangku. Lagipun, ini adalah masakan kegemaran ayahmu dulu. Sehari sebelum ayahmu meninggal dunia pun umi ada masakkan masakan ini untuk dia''

Kelihatan wajah umi mereka sedikit sedih dan tenang. Selepas menjamah makanan untuk bersahur, Hamid dan Hamida bersiap untuk ke masjid berdekatan untuk menunaikan solat Subuh secara berjemaah. Uminya hanya mampu tersenyum melihat mereka. Kudratnya kini hanya tertumpu pada rumahnya dek kerana tidak mampu untuk berjalan jauh memandangkan sakitnya yang saban hari semakin teruk.

Seperti biasa, selepas menunaikan solat Subuh, kanak-kanak kembar comel itu mengikuti kelas pengajian Al-Quran yang diajar oleh seorang pemuda Gaza di kawasan masjid tersebut. Dari situ, mereka dapat berkenalan dengan kanak-kanak lain yang sebaya dengan umur mereka. Hamid seringkali mendapat perhatian gurunya kerana kelancaran beliau dalam membaca Al-Quran ditambahkan lagi dengan beliau sudah pun menghafal 30 juzuk Al-Quran sejak sebulan yang lalu.

Hamida pula terkenal dikalangan rakan-rakannya dengan ketajaman akalnya yang boleh menghafal bait-bait syair arab, ayat Al-Quran serta hadis-hadis Nabi sehingga beliau mampu membetulkan kesalahan rakan-rakannya yang lain. Kesimpulannya, kebanyakkan aktiviti kanak-kanak comel itu disibukkan dengan aktiviti menghafal. Di waktu petang, uminya sering sahaja menunggu anak-anaknya itu diluar rumah sambil melihat gelagat anak-anaknya berkejar-kejaran untuk sampai ke rumah. Setibanya mereka di rumah, uminya memberikan ciuman mesra tanda sayang dan kasih kepada anaknya.

Petang itu, Hamid kelihatan agak letih. Badannya seperti lemah longlai. Ikutkan hati, mahu sahaja dia mengambil segelas air minuman untuk menghilangkan dahaga tetapi dia lebih mengutamakan ibadah puasa dahulu, walaupun beliau masih tidak lagi sampai umur(baligh). Mata yang tadinya segar dan cerah tiba-tiba bertukar layu dan tidak bermaya. Hamid terus tidur berbantalkan tangannya sendiri yang suci itu.

Namun Hamida kelihatan masih lagi cergas waktu itu. Selepas Asar, beliau akan menolong uminya dibelakang rumah untuk menguruskan kebun kecil mereka. Kebun kecil mereka tidaklah membuahkan hasil yang banyak. Adakalanya hampir seminggu mereka tidak mendapat hasil dari tanaman mereka dek kerana kekurangan air dan baja yang cukup. Hasil tanaman mereka cukup-cukup untuk memberi makanan buat mereka sekeluarga sahaja.

''Hari ni umi nak masak sayur campur ikan. Kebetulan umi dapat sawi dan kobis tadi. Nampak macam segar. Ikan kelmarin pun masih berbaki'',
''Alhamdulillah...., syukur sangat'', kata Hamida.
''Balik rumah nanti Hamida tolong panaskan air ye. Yang lain biar umi uruskan'',
''Alaa umi ni, Ida tahu.. umi bukannya boleh buat kerja sorang-sorang. Takpe, Ida tak letih sangat pun. Nanti Ida tolongkan umi kat dapur ye'',

Hati uminya sedikit terharu dan gembira dikurniakan anak kembar yang soleh dan solehah seperti mereka. Walaupun hidup mereka serba kekurangan, tetapi mereka yakin kebahagiaan yang sebenar bukanlah pada harta benda, wang, pangkat dan sebagainya.... tetapi anak yang soleh yang sentiasa patuh kepada ibubapanya. Kadang-kala, kesakitan yang dialami uminya itu sedikit terubat dengan perilaku dan akhlak yang ditunjukkan oleh anak kembar comel itu.

Petang itu, Hamida dan uminya saling tolong-menolong di dapur. Sambil mereka memasak untuk juadah berbuka, sambil mereka bersembang dan bergurau senda. Kadang-kala terdengar ketawa kecil dari kotak suara uminya.
Tiba-tiba Hamida terasa pelik dengan uminya pada petang itu. Entah mengapa uminya mudah untuk ketawa hari ini. Kebiasaannya, uminya hanya senyum dan sedikit ketawa kecil tetapi hari ini uminya beberapa kali ketawa kecil. Namun, Hamida tidak berfikir panjang kerana beliau senang melihat uminya gembira dan ketawa. Itu sudah membuatkan hatinya bahagia.

Jam menunjukkan hampir untuk berbuka puasa. Hamid yang terlena tadi sudah pun terjaga dari tidurnya dan selesai mengerjakan solat Asar. Selepas itu, mereka sekeluarga bertungkus-lumus menyiapkan juadah berbuka di dapur. Kelihatan air susu yang segar, nasi, dan lauk sayur bercampur ikan yang dimasak oleh umi kepada anak kembar comel itu.

''Alhamdulillah, hari ini Allah bagi kita rasa sedikit kebahagiaan orang berpuasa'',
''Kebahagiaan orang berpuasa?'', tanya Hamid.
''Ya.. Nabi sebut, ada dua kebahagiaan untuk orang yang berpuasa. Satu semasa orang itu berbuka dan satu lagi janji Allah untuk menempatkan syurga untuk orang yang berpuasa.'',
''Oooo..... kalau macam tu.... Hamid janji akan puasa penuh tahun ni sebab Hamid nak dua kebahagiaan tu''

Tiba-tiba terkeluar lagi ketawa kecil dari umi mereka. Hamida yang sedikit kehairanan dengan tingkahlaku uminya itu turut tersenyum lebar sambil memegang segelas air susu tadi.

Dalam pada mereka saling bergurau senda, tiba-tiba..... gelas yang dipegang Hamida bergegar. Gegaran kecil jelas kelihatan apabila air di dalamnya sedikit bergelombang. Begitu juga dengan gelas abangnya Hamid dan uminya.
Bersambung ke Part 2...................

Terima kasih kerana membaca. Komen siket... :-)

4 ulasan:

  1. Allahuakbar..bila si kecil pandai berpuasa.mengerti tentang kesusahan hidupnya..

    BalasPadam
  2. Mereka yg hidup susah tp sentiasa redha menerima ape saje keadaan, tu baru dikira bersyukur. :) kuat jiwa anak yatim ni..allahu~

    BalasPadam
  3. Tak sabar nak tunggu part 2.. hehehehehe

    BalasPadam
  4. sama2 kita doakan saudara2 Islam kita di sana. :')

    BalasPadam

Dikuasakan oleh Blogger.